judul baru

Wednesday 14 December 2011

KAJIAN TERHADAP KITAB HILYAT AL- AULIYAK

ebit by: Arifin



KARYA-KARYA UTAMA DALAM PENGAJIAN AL- HADITH

IXGU6123

KAJIAN TERHADAP KITAB HILYAT AL- AULIYAK KARYA IMAM ABU NU’AIM Al-ASFAHANI (W 430H)

OLEH :

Ilyas Bin Ibrahim

IGB 110065

ilybasriah@yahoo.com

PENSYARAH :

PROFESOR MADYA DR. FAUZI DAREMAN

Abstrak

Kedudukan al-sunnah sebagai sumber kedua selepas al-Quran dalam syariat Islam menjadikannya begitu istimewa di kalangan para ulama sejak dari zaman sahabat sehingga ke hari ini. Usaha para sahabat memelihara hadith melalui hafazan dan catatan jelas membuktikan kesungguhan mereka dalam mempertahankan sunnah. Usaha mereka ini diteruskan dari generasi ke generasi melalui susur jalur sejarah yang panjang bermula dengan kaedah hafazan, seterusnya melalui catatan di lembaran-lembaran kertas sehinggalah ia dikumpul, disusun, dan dibukukan. Hasilnya telah membawa kepada kemunculan beribu-ribu karya dalam pelbagai bidang hadith yang telah menyuburkan perkembangan dan pemakaian al-sunnah di dalam dunia Islam, sama ada dari segi ilmu pengetahuan maupun keagamaan dan kerohanian.


I. Pendahuluan

Sejarah pembukuan al-Sunnah memiliki nilai sangat penting dalam kajian sumber-sumber Syari’at Islam. Peristiwa ini ada keterkaitan antara tidak hanya sebagai bukti warisan peninggalan dalam sejarah Islam, lebih dari itu pelembagaan (pembukan) al-Sunnah merupakan landasan dalam sumber penetapan kualifikasi al-Sunnah tersebut. Sehingga melalui kualifikasi itulah dapat diketahui apakah al-Sunnah tersebut Sahih, Hasan, ataupun Dzaif, ini semua sangat ditentukan oleh model-model periwayatan hadith yang sudah terbukukan dalam kitab-kitab induk al-Hadith. Model-model periwayatan dan pengajaran Hadith dari masa ke masa juga menjadi instrument indikator “mardud” ataupun “maqbul” nya suatu periwayatan hadith, kerana alasan bahawa prinsip-prinsip periwayatan hadith oleh para perawi setidaknya diketahui melalui peristiwa aktivitas Pembukuan atau Pelembagaan al-Sunnah. Momentum gerakan Pembukuan al-Sunnah memunculkan petunjuk model pengajaran Syari’at Islam seacara kultural, dan memberi penentu tentang periodisasi perjalanan format sumber Syari’at Islam. Sehingga dari aspek Syari’ah bahawa Pelembagaan dan Pembukuan al-Sunnah ada keterkaitan dengan penentuan nilai-nilai otentifikasi sumber-sumber Syari’at Islam, setidaknya ada tujuh fase periode dan masing-masing memiliki format unsur karakter sekaligus nilai penting dalam penetapan kedudukan al-Sunnah, sama ada itu Sunah Qauliah, Fi’liah, ataupun Taqririah bahkan Qauliyah dan Atsar Shahabat. Melalui pelembagaan dan pembukuan menjadikan tumbuhnya aktivitas keilmuan, terutama di bidang hadith (Ulum al-Hadith) di samping mendorong timbulnya lembaga Ijtihad dari generasi ke genarasi berikutnya.

Maka dalam kesempatan kali ini penulis mencoba untuk mengkaji sesebuah khazanah hadith peninggalan ulama terkenal abad ketiga hijriyah, beliau adalah Abu Nu`aim al-Asfahani dan karyanya yang terkenal Hilyat al-Auliyak wa Thabaqat al-Asfiyak. Merupakan sebuah karya besar yang terdiri dari sepuluh jilid tentang kumpulan hadith-hadith Rasulullah s.a.w yang dilengkapi dengan silsilah sanad yang panjang sampai kepada Rasul s.a.w yang mengumpulkan para tokoh Sahabat Nabi, Tabi`in, Tabik Tabi`in dan para tokoh ahli ulama tasawwuf dan ibadat. Maka dalam upaya untuk mencapai objektif kajian seperti yang diharapkan, penulis akan menggunakan metode library resach sahaja (kajian pustaka) dengan merujuk kepada buku-buku yang telah ditulis oleh para pengkaji sebelum penulis, sama ada yang berkaitan mengenai biografi Abu Nu`aim itu sendiri maupun telaah kepada karyanya Hilyat al-Auliyak.

II. BIODATA ABU NU`AIM AL-ASFAHANI

2.1 Nama dan Keturunan

Nama sebenar Abu Nu`aim al-Asfahani ialah as-Syekh al-Imam al-Hafiz Abu Nu`aim Ahmad bin Abdullah bin Ahmad bin Ishaq bin Musa bin Mahran al-Asfahani (w430H). Di bidang hadith beliau termasuk didalam senarai ahli-ahli hadith yang terkemuka serta mendapat banyak pujian dari ulama salaf lainnya. Ini diakui oleh beberapa orang ulama, seperti; Ibnu Khalkan dalam kitab wafayat al-a`yan, menyebutnya sebagai salah satu tokoh terkemuka dan hafizh (penghafal hadith) besar yang tsiqah (terpercaya). Ibnu Mardawaih memberi kesaksian bahawa para hafizh dunia berkumpul di sisinya dan tidak ada seseorangpun pada masanya yang lebih tinggi sanad dan hafazan darinya. Ibnu Ahmad al-Hambali menyatakan, beliau adalah satu-satunya orang di dunia ini yang memiliki Isnad tertinggi. Ibnu Taimiyah menyatakan, bahawa beliau lebih besar dari sekedar disebut tsiqah[1], kitab beliau ” Hilyat al-Auliyak “ adalah salah satu kitab terbaik yang mengangkat kisah orang-orang zuhud, dan kitab beliau jauh lebih shahih penukilannya berbanding dengan kitab-kitab lainnya, seperti Risalah al- Qusyairiyah[2] dan Musannafaat Abi Abdurrahman al- Salma[3].

Meskipun setelah kita kaji bersama di dalamnya masih banyak terkandung hadith-hadith dan hikayat-hikayat yang dzaif, bahkan batil[4]. Seperti hadith yang diriwayatkan Abu Nu`aim tentang seseorang yang meninggal dunia tetapi ia belum melaksanakan ibadah haji, maka ia bagaikan mati orang Yahudi atau Nasrani, al-Albani dalam za`if al-Targhib wa al-Tarhib mengatakan hadith ini dari abi umamah dan merupakan hadith zaif[5]. Sedangkan contoh cerita batil penulis belum dapat memberikan argument yang kuat kerana penulis tidak mengkaji kandungan kitab tersebut secara terperinci satu persatu, penulis hanya menukilkan argument dari Shalih bin Abdul Aziz al-Muhaimid dalam karyanya 1000 hikmah ulama salaf.

Selain ketokohannya sebagai Muhaddith beliau juga seorang Sufi dan Muarrikh yang terkenal. Keluarga besar beliau terkenal dengan ilmu dan ketaqwaan, bapanya merupakan seorang ulama yang besar, yang mana Abu Nu`aim sendiri ada meriwayatkan banyak hadith darinya, datoknya Muhammad bin Yusuf juga seorang ulama, demikian juga anak dari datoknya Ahmad bin Muhammad, dia itu datok ayahnya dari pihak ibu. Adapun datoknya Mahran merupakan orang yang mula-mula memeluk islam diantara datok-datoknya yang lain, beliau merupakan maula `Abdullah bin Mu`awiyah bin `Abdullah bin Ja`far bin Abi Thalib r.a[6]. Jadi silsilah keturunan Abu Nu`aim al-Asfahani sampai kepada `Ali bin Abi Thalib melalui datoknya Mahran.Sehingga dari latar belakang tersebut beliau dituduh sebagai orang Syi`ah, kerana banyak meriwayatkan hadith-hadith yang bekenaan dengan imam `Ali dan ahl al-Bayt Rasulullah s.a.w, ditambah lagi profil beliau banyak didapati terjemahannya didalam buku-buku karya orang syi`ah, seperti yang terdapat dalam kitab “a`yan al-Syi`ah” karya al-`Amily dan kitab “rauzat al-jannah” karya Mirza Muhammad Baqr al-Musawi, namun tuduhan tersebut dibantah oleh al-`Amily sendiri, beliau berkata; Abu Nu`aim merupakan salah seorang dari ulama ahl alSunnah mazhab al-`Asy`ariah sekalipun beliau banyak mengarang kitab-kitab yang berkaitan dengan keutamaan ahl al-Bayt sehingga membuat sebahagian ulama mengiranya sebagai syi`ah namun tidak ada bukti yang dapat menunjuki kepada kebenaran isu tersebut, adapun kami menyebutkannya dalam kitab kami kerana beliau telah disebutkan oleh beberapa sahabat kami yang lain[7].

Adapun dakwaan al-Maula Nizamuddin al-Qurasyi tentang tulisan yang tertulis diatas kuburannya; “La ilaha illa Allahu wahdahu la syarikalahu, Muhammad bin `Abdillah `abdiy warasuliy, wa ayyattuhu bi `Ali bin Abi Thalib” kata-kata ini kemungkinan besar ditulis setelah wafatnya. Adapun pembicaraannya terhadap al-Imam `Ali dan kehidupannya dalam kitab beliau Hilyat al-Auliyak bukan berarti beliau adalah orang syi`ah, kerana beliau selain menyebutkan `Ali beliau juga menyebutkan tentang kelebihan tiga khalifah yang lain sebelum beliau, sebagaimana kita ketahui bahawa beliau selain sebagai muhaddith beliau juga sebagai ahli sufi yang mana terdapat hubungan yang sangat erat tentang sunnah dan tasawwuf yang sebenarnya, sehingga mempunyai hubungan khusus antara sufi dan ahl al-Bayt yang dilatar belakangi oleh agama mengenai kecintaannya kepada ahl al Bayt Rasulullah s.a.w[8], dan ini merupakan bahagian daripada agama sebagai aplikasi tanda kecintaan seseorang kepada Allah S.W.T sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surat `Ali Imran ayat: 31 yang berbunyi:

ö@è% bÎ) óOçFZä. tbq7Åsè? ©!$# ÏRqãèÎ7¨?$$sù ãNä3ö7Î6ósムª!$# öÏÿøótƒur ö/ä3s9 ö/ä3t/qçRèŒ 3 ª!$#ur Öqàÿxî ÒOÏm§ ÇÌÊÈ

Maksudnya;

Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah Aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(Q.S `Ali Imran: 31)

Dan firman Allah S.W.T dalam surat al-Syura ayat:23 yang berbunyi:

@è% Hw ö/ä3è=t«ór& Ïmøn=tã #·ô_r& žwÎ) no¨ŠuqyJø9$# Îû …….4n1öà)ø9$# ÇËÌÈ

Maksudnya;

Katakanlah "Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan" (Q.S al-Syura:23)

Diantara ahli hadith terdapat pula seseoarang yang mempunyai nama dan laqab yang sama dengan Abu Nu`aim al-Asfahani, iaitu sebagaimana yang telah disebutkan oleh al-`Amily dalam kitabnya “ a`yan as-Syi`ah [9] beliau mengatakan: Kunniyah Abu Nu`aim juga menjadi sebuah kunniyah kepada seorang hafiz yang lain selain beliau, iaitu Abu Nu`aim al-Fazl bin dakin[10]. Beliau juga mendapat banyak pujian daripada para ulama. Ahmad bin Shalih berkata; aku tidak pernah melihat seorang muhaddith yang lebih jujur daripada Abu Nu`aim, Ya`qub al-Faswa berkata; kami sepakat bahawasanya Abu Nu`aim merupakan orang yang sangat Mutqin dalam periwayatan, Abu Hatim berkata; Abu Nu`aim merupakan seseorang yang hafiz yang mutqin, Muhammad bin `Abdul wahhab juga berkata; sungguh kami menyegani dan mengagumi Abu Nu`aim melebihi kekaguman kami kepada seorang raja. Beliau dilahirkan pada tahun 130H dan meninggal pada tahun 219H dalam keadaan syahid[11].

2.2 Tarikh dan Tempat Kelahiran

Para pengkaji sejarah, terdapat perselisihan pendapat diantara mereka dalam menentukan tarikh kelahiran al-Hafiz Abu Nu`aim disebabkan oleh maklumat dan catatan yang diambil dari para sejarahwan yang menulis tentang beliau. Menurut pendapat yang kuat mengikut catatan sejarah, beliau lahir pada bulan rajab tahun 336H (januari/ februari tahun 948M), dan meninggal di Asfahan pada tahun 340H, tetapi menurut Ibn Khalkan beliau dilahirkan pada tahun 334H, sebahagian ulama juga mengatakan beliau dilahirkan pada tahun 353H, namun kedua pendapat ini merupakan pendapat yang lemah[12]. Adapun mengenai tempat kelahiran beliau para ulama sepakat bahawa beliau adalah seorang warganegara Iran, iaitu al-Asfahan, yang terletak disebelah selatan didekat sungai “Zandarun” sekitar 210 mil dari kota Teheran dan beliau juga meninggal dunia di Asfahan[13].

2.3 Pendidikan Abu Nu`aim al-Asfahani

Sebagaimana maklumnya, Abu Nu`aim telah memulai mempelajari pelbagai ilmu sejak ia masih kecil, terutama al-Quran seperti biasa yang berkembang pada saat itu bahawasanya tempat belajar dimulai di Masjid-masjid dengan cara talaqqi,kemudian barulah terbentuk berbagai macam madrasah taklimiyah, iaitu pada masa khilafah Ruknu al-Daulah bin Buwaih yang pada saat itu beliau adalah sebagai hakim untuk Asbahan, Ray, Hamazan dan seluruh kota yang ada disekitaran negri al-Irak al-A`jami, maka mulai pada saat itu Abu Nu`aim telah dapat menikmati sebuah lingkungan yang penuh dengan ilmu pengetahuan, sehingga beliau dapat meresapi pelbagai ilmu yang berkembang begitu pesat pada saat itu, dengan ulama yang begitu masyhur didalam pelbagai ilmu, sebagaimana yang telah disenaraikan oleh sejarahwan islam al-Hafiz Syamsyuddin al-Zahaby dalam kitabnya “ Duwal al-Islam “ terdapat banyak ulama yang hidup pada masa itu mulai dari kelahiran Abu nu`aim sampa dengan wafat beliau. Diantaranya adalah: seorang sufi besar Dalf bin Jahdar atau yang dikenal dengan Abi Bakr al-Syabily murid daripada al-Junaid (w334H) tahun lahirnya Abu Nu`aim, Abu Bakr bin Muhammad Yahya al-Suly (w335H) seorang sastrawan terkenal, al-Haitsam bin Kulaib (w 335H) seorang al-Hafiz yang menulis al-Musnad, Muhammad bin Muhammad al-Farabi (w 339H) seorang filosofis terkenal, dan lain sebagainya[14].

2.4 Guru-Guru Abu Nu`aim al-Asfahani

· Guru Abu Nu`aim al-Asfahani di Asfahan

Sejak dari kecil beliau telah diasuh oleh bapanya sendiri `Abdullah bin Ahmad yang juga merupakan seorang ulama yang terkenal sehingga Abu Nu`aim banyak meriwayatkan hadith darinya, kunniyahnya Abu Muhammad (231-365H), beliau juga meriwayatkan daripada Abi Khalifah, `Abdan, `Abdullah bin Najiyah, al-Jundy, Ishaq al-Khaza`I, Ibrahim bin Matuyah, Muhammad bin Yahya bin Mundah sekalipun diantaranya terjadi perselisihan pendapat, sama ada kerana dilatar belakangi oleh perbezaan dan ta`assub mazhabiyah mahupun sifat emosional pribadi manusia sehingga menyebabkan perbezaan pendapat[15] dan Ibn Rustah, yang mana beliau pada saat itu belum meranjak umurnya lebih dari enam tahun.

Kemudian selepas itu setelah beliau berumur delapan tahun sebagaimana yang diceritakan oleh al-Subki didalam Tabaqat al-Syafi`iyah maka beliau baru berguru kepada para syuyukh yang sangat masyhur dalam keilmuannya, sama ada di tempat kelahirannya mahupun di tempat lain dimana Abu Nu`aim telah belajar, diantaranya adalah:

· `Abdullah bin Ja`far bin Ahmad bin Faris bin al-Farj (w 248-346H)

· Al-Qazi Ahmad bin Muhammad bin Ahmad bin Ibrahim al-`Asal (w 374H)

· Ahmad bin Ja`far bin Ahmad bin Ma`bad Abu Ja`far al-Samsar (w 346H)

· Ahmad bin Muhammad bin Ahmad bin Ja`far al-Qasshar (w 399H)

· Dan lain-lain[16].

Kemudian selepas beliau menimba ilmu di Asfahan sekitar dua puluh tahun, lalu beliau berangkat pergi ke Iraq tepatnya pada tahun 356 H dan belajar dengan para ulama disana.

· Guru Beliau di Iraq.

Diantara guru Abu Nu `aim al-Asfahani di Iraq adalah: Abi Bahr al-Balbahari Muhammad bin al-Hasan bin Kautsar (266 – 362), Abu `Ali Isa bin Muhammad bin Ahmad bin Umar al-Thumari (262 – 360H), Abu Thahir al-Hafiz al-Baghdadi al-Zahabi Abdurrahman bin Abbas bin Abdurrahman bin Zakaria (w393H)[17], Habib bin al-Hasan bin Daud bin Muhammad Abu al-Qasim al-Qazzaz (w359H) dan lainnya. Kemudian selepas itu beliau berangkat menuju tanah haram Makkah al-Mukarramah dan berjumpa dengan para ulama Makkah.

· Guru Abu Nu`aim di Makkah:

Diantara guru beliau di Makkah adalah: Abu Bakr bin Muhammad bin al-Husain bin Abdullah al-Ajiri (w360H). Kemudian beliau menuju Basrah dan berjumpa dengan ulama disana.

·

· Guru Abu Nu`aim di Basrah

Diantaranya: Faruq bin Abd al-Karim al-Khattabi dan Muhammad bin Muslim al-Amiri. Lalu beliau menuju ke Kufah dan berjumpa disana dengan para ulama terkemuka.

· Guru Abu Nu`aim al-Asfahani di Kuffah

Diantara guru beliau di Kuffah adalah: Abi Bakr Abdullah bin Yahya al-Thalha. Selepas itu beliau menuju Naisaburi dan berjumpa dengan para ulama disana.

· Guru Abu Nu`aim al-Asfahani di Naisaburi

Diantara guru beliau di Naisaburi adalah: Muhammad bin Abdillah al-Hakim al-Naisaburi(Ibn al-Bay`) (w405H). Kemudian selepas itu beliau kembali ke kampung halamannya tempat kelahiran beliau “Asbahan” setelah beliau berkeliling dunia dalam menuntut ilmu, beliau habiskan umurnya sekitar 14 tahun di luar tempat asalnya demi mencari ilmu, beliau mulai dari tahun 356 sampai tahun 370 H. Setibanya dikampung halaman beliau mengabdikan dirinya untuk mengajarkan ilmu yang telah beliau pelajarinya lebih kurang sekitar 30/ 36 tahun[18] sampai beliau dipanggil kehadhirat Allah S.W.T pada tahun 430H.

Adapun Mazhab beliau dalam fiqh adalah mazhab al-Imam al-Syafi`I, dan diantara murid beliau yang paling terkenal ialah al-Imam al-Hafiz al-Khatib al-baghdadi.

III. LATAR BELAKANG PENULISAN:

Tujuan utama yang menggugah hati al-Asfahani untuk menulis kitab Hilyat al-Auliyak ialah untuk memberikan pemahaman yang benar tentang tasawwuf dan menyanggah orang-orang yang menamakan dan mendakwakan dirinya ahli tasawwuf tetapi tingkah laku dan perbuatan mereka tidak menunjukinya, mereka hanya mengatasnamakan dirinya untuk merusak dan menggantikan hakikat tasawwuf yang sebenarnya. Oleh kerananya untuk mengangkat derajat auliya Allah dan meletakkannya sesuai dengan tempat yang telah Allah tentukan, sehingga beliau menyebutkan seluruh sifat dan hal ahwal mereka dengan lebih terperinci dengan disertai oleh hadith-hadith yang berkaitan dengan semua sifat tersebut, supaya orang-orang dapat mengetahui apa sifat-sifat para Auliya` dan keadaan mereka dengan Allah S.W.T.

Diantara sifat yang beliau sebutkan ialah[19]:

  1. Mereka menduduki derajat para Syuhada` bahkan Ambiya`
  2. Mereka ialah Pewaris Zikir yang sempurna
  3. Mereka terselamat daripada segala fitnah dunia dan segala bala yang ada
  4. Mereka Zuhud terhadap dunia, khususnya makanan dan minuman
  5. Keyakinan mereka dapat menjadikan batu terbelah
  6. Dengan keikhlasan mereka dapat membuat hujan turun dari langit
  7. Mereka terpelihara dari kehinaan dunia, dan lain-lain

Lalu selepas itu, beliau memberikan komentar bahawasanya kata-kata tasawwuf diambil dari empat kelompok kata[20],iaitu:

  1. Al-Safa` (bersih, jernih)
  2. Al-Wafa` (memenuhi janji)
  3. Al-Sufanah (cerah)
  4. Suffah (tempat bagi sebahagian sahabat yang tidak mempunyai rumah)

Kemudian beliau lebih lanjut mendefinisikan pengertian Tasawwuf secara benar agar dapat dipahami dengan sebenarnya sehingga tidak salah dalam memahaminya, untuk memperkuat defenisi tersebut beliau menyokong dengan beberapa pendapat ulama tasawwuf tentang definisi tersebut, lebih kurang ada enam pendapat ahli tasawwuf yang beliau senaraikan, diantaranya; al-Junaid, Zannun al-Masri, Abu al-Hasan al-Mazin, Aba al-Fazl Nasr bin Abi Nasr al-Tusi dan Aba Himam `Abdurrahman bin Mujib al-Sufi. Diantara definisi mereka tentang tasawwuf seperti yang telah beliau nukilkan daripada perkataan al-Imam al-Junaid ketika beliau ditanyakan tentang tasawwuf maka beliau menjawab; tasawwuf adalah sebuah nama yang mengumpulkan sepuluh erti, diantaranya adalah; berpada-pada dengan sesuatu yang ada dari sekian banyak yang terdapat di dunia, keterkaitan hati dengan Allah S.W.T dengan tidak mengenyampingkan al-Asbab, gemar dalam melakukan ketaatan dengan memperbanyak melakukan amalan-amalan sunnah sekalipun banyak halangan dan rintangan dan seterusnya[21]. Sehingga lebih lanjut beliau memerincikan lebih rinci lagi tentang dasar-dasar Tasawwuf harus meliputi empat perkara/ tahapan[22],iaitu:

  1. Makrifatullah azza wajalla ( mengenal Allah S.W.T)
  2. Mengenal Nama-Nama Allah, sifat dan Perbuatan-Nya
  3. Mengenal dirinya, kebaikan, keburukan dan segala sesuatu yang menjadi musuhnya
  4. Mengenal dunia dan segala kesombongan tipudayanya.

Maka sebagaimana yang telah penulis senaraikan diatas bahawasanya Abu Nu`aim selain sebagai seorang muhaddith beliau jaga adalah seorang sufi terkenal, ini terlihat dari hasil karya beliau terhadap Hilyat al-Auliyak yang mana beliau mengumpulkan hadith-hadith dan cerita-cerita yang berkaitan dengan para auliya. Namun demikian, karya beliau ini bukanlah karya yang pertama tentang tasawwuf, tetapi para ulama terdahulu sebelum Abu Nu`aim juga telah mengarang beberapa kitab tentang tasawwuf, diantaranya kitab al-Luma` karya; Abu Nasr al-Siraj al-tusi (w378H) sehingga kitab beliau dapat dikatagorikan sebagai kitab al-Um dalam ilmu tasawwuf bahkan termasuk salah satu rujukan klasik dalam ilmu tasawwuf. Namun Abu Nu`aim juga salah seorang yang pernah berguru dan hidup semasa dengannya bahkan beliau pernah berjumpa dengannya melalu Ja`far al-Khuldi, salah seorang imam tasawwuf, tetapi al-Thusi lebih awal kewafatannya dibandingkan Abu Nu`aim al-Asfahani[23].

Pada dasarnya Abu Nu`aim telah hidup dalam lingkungan tasawwuf sebagaimana yang telah beliau riwayatkan sendiri di dalam kitabnya Hilyat al-Auliyak bahawa datok bapanya dari pihak ibunya, iaitu Muhammad bin Yusuf al-Bana merupakan salah seorang yang sangat zuhud, beliau meninggal di Masisah dan dikebumikan disamping kuburan Mukhallad bin Husain pada tahun 184 H, umurnya pada waktu itu belum sampai 40 tahun. Setelah kewafatannya dan Abu Nu`aim menjalani kehidupan setelahnya lebih kurang setengah abad banyak terlintas dalam pikirannya, hatinya dan perasaannya sehingga beliau menumpahkannya dalam salah satu karyanya hilyat al-Auliyak. Namun dikeranakan penyebutan sanad yang begitu panjang dan pengulangan terhadap cerita-cerita yang telah beliau sebutkan didalamnya maka datanglah beberapa ulama setelahnya untuk meringkasnya, diantaranya adalah Ibn al-Jauzi (w597H) sehingga beliau menamakan ringkasannya itu dengan “Safwatu al-Safwat”, lalu Muhammad bin al-Hasan “Majma` al-Akhbar” kemudian datang setelahnya al-`Allamah al-Zahid al-`Abid Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad al-Raqa al-Hambali (w703H) “Ahasinu al-Mahasin” yang di tahqiq oleh al-Sayyed Muhammad `Alawi al-Maliki dan dicetak oleh al-Maktabah al-Salafiyah-Makkah 1390 H[24].

IV. METODE PENULISAN

Diantara karya Abu Nu`aim yang paling terkenal adalah kitab “ Hilyat al-Auliyak Watabaqat al-Asfiyak ”. Dalam penulisan buku ini Abu Nu`aim al-Asfahani pertama sekali memulai mengupas dalam muqaddimah bukunya itu tentang kemuliaan dan kelebihan para aulia Allah di sisi-Nya, sama ada di dunia maupun diakhirat, lalu Beliau mensenaraikan lebih jauh lagi tentang ganjaran bagi orang-orang yang menentang para Aulia Allah, apalagi sampai ia mengejeknya maka seolah-olah ia telah mengangkat bendera perang terhadap Allah S.W.T[25], yang semuanya itu telah beliau jelaskan sendiri didalam muqaddimahnya, diperkuat lagi dengan hadith-hadith yang beliau riwayatkan tentang hal tersebut.

Dalam kitab ini, beliau mengumpulkan sekumpulan perkataan tentang Ilmu Tasawuf dan ahli Ulamanya dengan menertibkan tingkatan mereka sesuai dengan tingkatnya masing-masing, lebih kurang terdapat 800 tokoh ulama yang telah beliau sebutkan didalam kitabnya itu, mulai dari para sahabat yang empat(Khulafa ` al-Raasyidiin), kemudian para sahabat al-Mubasysyiiriina bil Jannah, kemudian para sahabat-sahabat yang lain dan Ahli Suffah, lalu disusul para Tabi`in, Tabi` Tabi`in dan para ulama ahli Ibadah atau Tasawwuf lainnya sampai dengan yang semasa dengannya. Dengan menyebutkan Sanad yang panjang dan pengulangan cerita atau hadith yang sama di beberapa tempat yang berbeza.[26]Setelah beliau menyebutkan nama salah seorang ulama kemudian beliau memperkenalkan profil, manaqib dan cerita-cerita yang berkenaan dengan ulama tersebut secara terperinci.

Contohnya; seperti yang telah disebutkan oleh Ibn al-Jauzi dalam ringkasannya terhadap kitab Hilyat al-Auliyak tentang terjemahan kepada al-Hasan al-Basri mengenai perkataannya, dalam waktu dan tempat yang lain ketika Abu Nu`aim menterjemahkan para sahabat al-Hasan al-Basri beliau mengulanginya kembali cerita yang sama dari perkataan al-Hasan tersebut. Beliau meletakkan hadith sesuai dengan nama yang telah beliau sebutkan satu persatu, mulai dari Khulafa` al- Rasyidin sampai seterusnya sampai kepada para ulama yang semasa dengannya, sekalipun masih ada yang keliru, seharusnya didahulukan tetapi justru beliau mengakhirkannya sebagaimana yang disampaikan oleh al-Imam al-Jauzi dalam Safwatu al-Safwat.

V. Contoh Hadith-Hadith yang terdapat dalam kitab Hilyat al-Auliyak

1. Kehati-hatian Abu Bakr dalam hal makanan:

حدثنا ابو عمرو ابن حمدان ثنا الحسان بن سفيان حدثني يعقوب بن سفيان قال حدثني عمرو بن منصور البصرى ثنا عبد الواحدبن زيد بن أسلام الكوفى عن مرّة الطيب عن زيد بن أرقم قال : كان لأبى بكر الصدّيق رضي الله تعلى عنه مملوك يغلّ عليه فأتاه ليلة بطعام فتناول منه لقمة فقال له المملوك : ما لك تسألني كلّ ليلة ولم تسألنى الليلة ؟ قال حملني على ذالك الجوع , من اين جئت بهذا ؟ قال : مررت بقوم فى الجاهلية فرقيت لهم فوعدوني , فلما أن كان اليوم مررت بهم فإذا عرس لهم فأعطوني قال : إن كدت أن تهلكني , قأدخل يده فى حلقه فجعل يتقيأ , وجعلت لا تخرج , فقيا له إن هذه لا تخرج إلا بالماء , فدع بطست من ماء فجعل يشرب ويتقيأ حتى رمى بها . فقيل له يرحمك الله كلّ هذا من أجل هذه القمة! قال: لو لم تخرج إلا مع نفسي لأخرجتها , سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم بقول: كلّ جسد نبت من سحت فالنار أولى به }. فخشبت أن ينبت شيء من جسدي من هذه اللقمة.

2. Kelebihan `Umar bin Khatthab:

حدثنا سليمن بن أحمد ثنا عمرو بن ابى الطاهر ثنا سعيد بن ابي مريم ثنا عبد الله بن عمر عن جهم بن ابي جهم عن مسور بن مخرمة عن ابي هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: إنّ الله عزّ وجلّ جعل الحقّ على لسان عمر وقلبه .

3. Kelebihan `Usman bin `Affan:

حدثنا سليمن بن أحمد ثنا أحمد بن عمرو الربيعي ثنا زكريا بن يحيى المتقرى ثنا الأصمعي ثنا عبد الأعلى السامي عن عبيد الله بن عمر عن نافع عن ابن عمر قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: " عثمان أحي أمتي وأكرمها ".

V. KESIMPULAN:

Imam Abu Nu'aim Al-Asfahani, penulis kitab Hilyatul Auliya' adalah ulama Salaf yang terkenal abad ke empat hijriyah serta mendapat banyak pujian dari ulama Salaf lainnya, sekalipun ada diantara mereka yang berselisih paham, seperti perselisihan beliau dengan Ibn Mundah, selain sebagai ahli hadith beliau juga sebagai ahli sejarah dan tasawwuf. Buku ini adalah obat bagi iman yang lemah dan mental yang rusak kerana tidak peduli akhirat, cinta dunia dan takut mati sesuai dengan apa yang telah disyari`atkan agama. Namun tidak dipungkiri juga sebagaimana yang telah dikeritik oleh Ibn al-Jauzi bahawa didalam kitab hilyat al-Auliyak terdapat perkara-perkara yang seharusnya itu tidak terjadi dan ada pula hal-hal yang seharusnya tidak dilupakan. Diantara perkara-perkara yang kurang layak adalah[27]:

  • Kitab ini ditulis untuk mengumpulkan cerita-cerita para tokoh pilihan, agar orang lain dapat mengikuti jejak mereka, namun cerita tersebut tidak diambil dari perkataan mereka tetapi dari orang lain yang menceritakan tentang mereka.
  • Beliau tidak melihat lebih jauh terhdap berita yang beliau nukilkan dari seseorang apakah itu layak ataupun tidak untuk beliau tuliskan dalam kitabnya, seperti dalam terjemahan beliau kepada Mujahid dan `Ikrimah tentang tafsir mereka.
  • Terjadi pengulangan cerita, seperti yang beliau sebutkan dalam terjemahan terhadap al-Hasan al-Basri
  • Terlalu panjang menyebutkan hadith-hadith yang marfu` kepada seseorang sehingga beliau lupa memberikan komentar.
  • Terdapat hadith-hadih batil dan maudzuk sedangkan beliau tidak menjelaskannya.
  • Penggunaan sajak yang lemah dalam menyebutkan sya`ir.
  • Menisbahkan tasawwuf kepada tokoh para sahabat, seperti Abu Bakr, `Umar, `Usman, `Ali, al-Hasan, Syuraih, Sufyan, Syu`bah, Malik, Al-Syafi`I dan Ahmad, sedangkan dari mereka tidak didapati berita tentang tasawwuf.
  • Terdapat perkataan-perkataan yang tidak ada manfaat dan artinya.
  • Terdapat perkara-perkara yang dilakukan oleh ahli sufi yang pada dasarnya tidak layak untuk dilakukan, kerana akan membuat orang yang kurang ilmunya salah pemahaman.
  • Terdapat kekeliruan dalam penertiban dan urutan, dengan mendahulukan seseorang yang seharusnya di akhirkan dan sebaliknya.

Adapun hal-hal yang tidak beliau sebutkan adalah:

  • Beliau tidak menyebutkan penghulu dari seluruh orang yang paling zuhud, iaitu Muhammad s.a.w.
  • Masih banyak para ahli ibadah yang ketinggalan tidak disebutkan.
  • Tidak disebutkan para ahli ibadah dikalangan kaum perempuan kecuali hanya beberapa orang sahaja.

Namun kritikan Ibn al-Jauzi juga masih terbuka untuk dikritik bahkan seorang ulama abad ke tujuh hijriah Abu Muhammad `Abdillah bin as`ad al-Yafi`a al-Yumna (w768H) telah mengkritik dan menggugat komentar Ibn al-Jauzi tentang Abu Nu`aim. Maka inilah yang dinamakan dengan manusia tidak ada yang sempurna. Inilah yang disampaikan oleh al-`Ammad al-Asfahani; “Aku melihat bahawa tidak ada buku yang ditulis oleh seseorang pada hari ini kecuali dikeritik oleh orang lain esok hari: Seandainya ini diganti maka itu lebih bagus, jikalau ditambah itu maka sungguh akan lebih indah lagi, seandainya ini didahulukan maka itu lebih sempurna dan seandainya ini ditinggalkan maka akan lebih bagus. Inilah salah satu tanda yang menunjukkan kekurangan dan kelemahan yang dimiliki oleh manusia disepanjang zaman. Wallahu a`lam bissawab.


Bibliografi

  1. Al-Hafiz Abu Nu`aim Ahmad bin `Abdillah al-Asfahani, Hilyat al-Auliyak wa Tabaqat al-Asfiyak: Dar al-Kitab al-`Arabi dan Dar al-Kitab al-`Ilmiyyah, Beirut-Libanon. Cet.II, 1387 H/ 1967 M.
  2. `Abd al-Hafiz Farghali `Ali al-Qarni, “A`lam al-`Arab” al-Hafiz Abu Nu`aim al-Asfahani: al-Hai at al- Misriyyah al-`Ammah li al-Kitab.

3. Shalih bin Abdul Aziz Al-Muhaimid, 1000 hikmah ulama salaf(mukhtasar @ ringkasan kitab hilyatul awliyak).

  1. `Abdul Aziz bin Awang Kechik (2009), Hadith-Hadith Dalam Bughyah al-Tullab Karangan Syekh Daud al-Fatani Jilid kedua: Takhrij dan Analisis, Jabatan al-Quran dan al-Hadith Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur.


[1] Majmu` Fatawa Ibn Taymiyah, jilid 2, hlm: 52

[2] Karya al-Imam Abi al-Qasiem `Abdul al-Karim bin Hawazan al-Qusyairi (w465H)

[3] Beliau adalah salah seorang dari guru abu Nu`aim al-Asfahani, nama sebenarnya adalah: Abu `Abd ar-Rahman Muhammad bin al-Husain ibn Muhammad bin Musa al-salma (w412H).

[4] Shalih bin Abdul Aziz Al-Muhaimid, 1000 hikmah ulama salaf(mukhtasar @ ringkasan kitab hilyatul awliyak)

[5] Abdul Aziz bin Awang Kechik ( 2009), Hadith-Hadith dalam Bughyah al-Tullab Jilid ke dua: Takhrij dan Analisis, hal. 122

[6] Abdul hafiz farghali ali al-qurni, a`lam al-`arab, al-hay ah al- masriyah al-`amah lilkitab 1987 h. 31

[7] Ibid…, h. 84

[8] Ibid…, h. 85-86

[9] A`yan al-Syi`ah, jil 9, h. 5

[10] Beliau adalah seorang hafiz yang menetap di Kufah, pernah mendengar hadith dari al-A`masy, Zakaria bin Abi Zaidah, `Umar bin Zaid, Syu`bah dan lainnya, hadith dari beliau diriwayatkan oleh Ahmad, Ishaq, Yahya bin Main, al-Zuhly, al-Bukhari, al-Darami dan Ibn al-Mubarak

[11] Al-Imam al-Zahabi,tazkirah al-Huffaz, jil 1, h.372

[12] Abdul hafiz farghali ali al-qurni…, h. 32

[13] Ibid…, h. 32

[14] Ibid…, h. 37-43

[15] Ibid…, h. 72 - 76

[16] Al-Hafiz Abu Nu`aim, akhbar asfahan, jil 1, h. 169, lihat juga Abdul hafiz farghali ali al-qurni…, h. 51-58

[17] Al-Imam al-Zahabi, Duwal al-Islam, jil 1, h. 237.

[18] Ibid…, h. 58 – 61.

[19] Hilyatul Auliya…, hal. 3-8

[20] Ibid…, hal. 9-10

[21] Ibid…, hal. 11

[22] Ibid…, hal. 12

[23] Abdul hafiz farghali ali al-qurni…, h. 124

[24] Ibid…, h. 131

[25] Ibid 4-6

[26] Shalih bin Abdul Aziz Al-Muhaimid, 1000 hikmah ulama salaf(mukhtasar @ ringkasan kitab hilyatul awliyak)

[27] Abdul hafiz farghali ali al-qurni…, h. 173-174

No comments:

Post a Comment