judul baru

Wednesday 12 June 2013

IMPAK AMALAN SOLAT TERHADAP KAWALAN DIRI MUSLIM

BAB I
PENDAHULUAN

1.0        Pengenalan
Bab ini akan membicarakan latar belakang kajian amalan solat dan kesannya terhadap perbuatan keji dan munkar. Ia akan diikuti dengan pernyataan masalah, objektif kajian, soalan kajian, batasan kajian, kepentingan kajian, definisi operasional dan kesimpulan.

1.1        Latar Belakang Kajian
Islam adalah agama sempurna yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw., yang mengandungi perintah yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam. Nurun Nasuha (2009), mengatakan perkara wajib yang diperintahkan oleh Islam ternyata memiliki begitu banyak hikmah dan kelebihan. Hikmah dan kelebihan ini memberi impak kepada individu tertentu yang melakukan juga masyarakat Islam secara umum. Salah satu ibadah yang diwajibkan Allah adalah solat yang memiliki hikmah yang sangat banyak.
Solat merupakan rukun Islam yang kedua selepas pengakuan syahadah yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-Nya. Al-Qur’an dalam surat al-Ankabut ayat 45 menyatakan bahwa solat dapat mencegah diri seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar. Ini adalah satu prinsip dari falsafah umum solat. Oleh yang demikian kita melihat, majoriti orang yang berbuat jahat adalah orang yang tidak mendirikan solat (Fahrur Muis, 2012).
Beliau juga menyatakan bahawa solat merupakan alat pengukur dalam menentukan keimanan dan keislaman seseorang kerana ia adalah tiang agama. Seseorang yang mendirikan solat dengan baik bererti perbuatannya yang lain juga baik. Ketika Nabi diberitahu oleh sahabat, ada orang yang solat sepanjang malam, tetapi apabila masuk waktu subuh dia mencuri, beliau berkata “solat akan menghentikan perbuatannya.” (HR. at-Thahawi).
Solat juga akan menghiasi dan memperindah seseorang dengan akhlak yang terpuji dan mental yang sehat, seperti sifat jujur, bertangung jawab, menepati janji, bersikap adil dan lain sebagainya (Mohd. Ardani, 2006). Ini merupakan kesan yang paling berharga daripada solat yang sebenar terhadap muslim yang mendirikannya. Menurut Muhd. Hasan al-Basri (2011), apabila solat dilakukan dengan khusyuk, ia akan memberi kesan yang positif kepada pelakunya.
Semua ibadah dalam Islam sama ada dalam bentuk solat, puasa, zakat, atau haji bertujuan untuk membentuk rohani manusia supaya sentiasa mengingati Allah. Solat seseorang hamba pula dapat melahirkan rasa kehambaannya. Solat merupakan cara terbaik untuk mendidik jiwa (Muhd. Rusli Amin, 2012). Menurut Fahrur Muis (2012), solat mempunyai kebaikan positif yang banyak dan kekuatan tersendiri bagi meningkatkan kesihatan jiwa seseorang.
Solat dapat memberikan kekuatan kepada diri serta dapat menghindari diri dari perasaan takut dan cemas kepada sebarang perkara. Selain  itu,  solat juga dapat mensucikan akhlak (Mustafa Mansyhur, 2001). Maka seorang hamba yang beriman akan mengutamakan solatnya dengan bersungguh-sungguh, sentiasa memelihara pada waktu yang telah ditetapkan dan apabila melaksanakannya ia akan mendirikan dengan penuh khusyuk.
Imam al-Ghazali (2001), menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira sia-sia semuanya, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah swt., dan juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Menurut Muhd. Hasan al-Basri (2011), kaitan antara kekhusyukan dan perilaku seseorang lebih jelas mengenai dosa besar seperti mencuri, rasuah, berzina, minum arak, menagih dadah, berbohong dan sebagainya. Sesiapa yang melakukan perkara itu, hampir pasti dia sebenarnya masih belum bersolat, iaitu solatnya belum memberi kesan terhadap hatinya.

1.2        Pernyataan Masalah
Solat merupakan suatu ibadah wajib kepada seluruh umat muslim di dunia. Solat mengandungi pelbagai hikmah yang luar biasa. Bagi seorang mukmin, solat menjadi media yang efektif untuk membentengi diri daripada perbuatan keji dan mungkar. Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:
“…dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar…” (QS al-Ankabut: 45).
            Zaharah Awang (2001), dalam kajiannya mendapati bahawa solat mampu meredakan kemarahan dan boleh menghilangkan segala masalah yang dihadapi juga boleh meningkatkan kesabaran dan kebersihan jiwa dari sifat-sifat tercela, begitu juga solat boleh menghalang manusia untuk melakukan sebarang maksiat.
            Mannan Ismail (2008), dalam kajiannya tentang masalah dalam menunaikan solat dalam masyarakat, mendapati bahawa pelaksanaan solat dalam masyarakat sekarang berada di tahap yang kurang memberangsangkan. Lanjutnya, sebagaimana diketahui masyarakat merupakan generasi pemimpin pada masa yang akan datang dan diiktiraf sebagai sebagai cerdik pandai serta tanggungjawab memimpin Negara secara dinamik adalah dibahu generasi muda.
Tuntutan sebenar adalah solat yang khusyuk, yang dapat memberi kesan kepada fikiran dan mental hinggakan perasaan batin menjadi lebih tenang, hening dan khusyuk (Syahid Tsani, 2006). Kita dapat merasakan bahawa banyak sekali keajaiban yang diperlihatkan mengenai hikmah dari solat khusyuk, yang berpotensi menjadi penolong kita menuju kejayaan dunia akhirat (Muhd. Rusli Amin, 2012) dan mencegah perbuatan keji dan mungkar (Muhd. Hasan al-Basri, 2011).
Rizka Fitri (2009), menyatakan bahawa keaktifan orang tua dalam melakukan solat fardhu dapat memberi kesan kepada keaktifan solat anak-anak mereka. Hal ini selari dengan hasil kajian yang dijalankan di Jawa Timur atas tindakan ibu bapa terhadap solat anak mereka. Mokhtaruddin Said (2006), mendapati bahawa ibu bapa hanya tersentuh dan bimbang dengan tahap rendah anak-anaknya dalam akademik, tetapi sebaliknya kurang mempedulikan sekiranya anak-anak mereka tidak cemerlang dalam solat.
Satu kajian yang telah dilakukan Muhd Yacop (2008) mendapati (40%) kalangan remaja yang tinggal di Banda Aceh tidak melakukan solat, (38%) solat tidak menpunyai kefahaman tentang solat dan (22%) solat yang tidak ada kesan. Mereka tidak mengambil berat tentang kewajipan yang difardhukan serta tidak cuba untuk menyikapi kelebihan-kelebihan yang ada pada solat sebagai matlamat utama bagi kekuatan kebatinan dan kerohanian didalam jiwa mereka itu sendiri.
Solat yang dilakukan dengan benar akan mempermudah urusan ibadah lainnya. Dan juga apabila solat dengan benar serta penuh kesedaran batin akan berpengaruh pada sikap dan perilaku (Hadi Ismanto, 2008). Jika seseorang telah benar-benar melakukan solat dan akan membiasakan dirinya dengan berperilaku baik, dan terhindar dari perbuatan yang buruk atau keji. Oleh itu langkah utama yang harus dilakukan adalah membentuk masyarakat yang bertaqwa dan berwawasan yang dapat memimpin Negara pada masa hadapan.

1.3        Objektif Kajian
Antara objektif kajian ini dijalankan ialah:
1.      Mengenalpasti sejauhmana kefahaman solat masyarakat Aceh?
2.      Mengenalpasti sejauhmana tahap amalan solat masyarakat Aceh?
3.      Mengenalpasti hubungan solat dengan pengendalian diri dari perbuatan keji dan munkar?



1.4        Soalan Kajian
Persoalan yang menjadi asas kepada kajian ini merangkumi beberapa aspek seperti berikut:
1.      Sejauhmanakah kefahaman tentang solat dikalangan masyarakat Aceh?
2.      Sejauhmanakah tahap amalan solat masyarakat Aceh?
3.      Apakah hubungan solat terhadap pengendalian diri dari perbuatan keji dan mungkar?

1.5        Batasan Kajian
Kajian ini tertempu kepada tahap kefahaman dan amalan serta kesan terhadap pengendalian diri daripada pengamalan solat dalam proses membantu pembentukan peribadi dan juga akhlak yang baik serta mulia. Fokus utama kajian ini berkisar tentang ibadat solat fardhu dengan tumpuan diberikan kepada kepahaman, amalan serta kesannya dalam pencegahan diri daripada perbuatan keji dan mungkar serta membentuk peribadi mulia.
Kefahaman dalam solat sangat luas. Oleh itu fokus kajian ini berdasarkan kefahaman solat fardhu ain sahaja, iaitu soat lima waktu. Kajian juga melihat kefahaman seseorang tentang kesahan dalam melakukan solat seumpama syarat, rukun serta yang membatalkan solat.
            Kajian ini juga memberi keutamaan kepada amalan solat wajib lima waktu dalam sehari semalam, iaitu zuhur, asar, magrib, isya dan subuh. Sama ada dilakukan secara sendiri atau berjamaah. Ini kerana suatu kewajipan terhadap seseorang yang sudah beraqil balig.
            Selanjutnya kajian ini melihat hubungan amalan solat fardhu yang dilakukan seseorang dengan perbuatan keji dan munkar terutamanya kekejian dan kemunkaran yang sering berlaku dalam masyarakat seharian.
Adapun kajian ini dijalankan disemua kabupaten atau kota madya di Daerah Istimewa Aceh.

1.6        Kepentingan Kajian
Setiap kajian yang dijalankan hendaklah mempunyai kepentingannya yang tersendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Kepentingan kajian ini adalah untuk:
1.      Memberi sedikit sebanyak pendedahan mengenai kefahaman tentang solat fardhu dalam kalangan masyarakat Aceh.
2.      Bahan input bagi pihak sekolah dalam perancangan pelaksanaan ibadah solat bukan sahaja melalui subjek pendidikan Islam untuk memberi atau menambah kefahaman bagi generasi yang akan datang.
3.      Maklumat bagi Pemerintahan Aceh dalam menangani masalah keseriusan, pemahaman dan pengamalan serta pembinaan tentang solat dalam kalangan masyarakat.
4.      Maklumat bagi Jawatan Syariah Islam Aceh bagi meningkatkan kefahaman dan penghayatan masyarakat dalam memahami hakikat solat dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh mereka dalam pelaksanaan solat.
5.      Tuntutan bagi jawatan Syariah Islam Aceh dalam mengawasi amalan masyarakat Aceh khususnya solat lima waktu.

1.7        Definisi Operasional
Impak:
Impak menurut kamus Dewan adalah kesan yang ketara, pengaruh pada pemikiran, sikap, watak dan sebagainya yang timbul akibat dari pada menyaksikan, mendengar atau membaca sesuatu, (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007). Dalam konteks kajian ini, impak adalah kesan yang yang timbul bagi orang yang melaksanakan solat fardhu mengikut pelbagai ketagori.
Amalan Solat:
Amalan, berasal dari perkataan kata dasar amal yang bermaksud sesuatu yang dilakukan, dikerjakan sebagai sesuatu kebiasaan, (Kamus Dewan Edisi Ketiga, 1994). Dalam kajian ini amalan bermaksud melakukan atau melaksanakan solat lima waktu.
Solat, iaitu sembahyang dalam agama Islam, (Kamus Dewan Edisi Ketiga, 1994). Menurut Kamus Bahasa Indonesia (2005), solat adalah rukun Islam kedua, berupa ibadah kepada Allah swt., wajib dilakukan oleh setiap muslim mukallaf, dengan syarat, rukun dan bacaan tertentu. Sedang menurut istilah syarak pula solat ialah beberapa ucapan dan perbuatan yang tertentu, yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam dengan syarat-syarat yang tertentu, (Engku Ahmad Zaki, Ahmad Tirmizi Taha, 2012, Muhd al-Zuhaili, 1981 dan Zainuddin al-Malibary, 1980).
Manakala yang dimaksud dengan solat adalah sembahyang fardhu atau sembahyang lima waktu yang diwajibkan ke atas setiap muslim yang mukallaf, (Ensiklopedia Solat, 2005). Dalam kajian ini amalan solat yang dimaksud adalah amalan solat fardhu atau solat wajib lima waktu sahaja.
Pengendalian diri:
Pengendalian diri adalah merupakan suatu keinginan dan kemampuan dalam menggapai kehidupan yang selaras, serasi dan dan seimbang pada hak kewajibannya sebagai individu dalam kehidupan keluarga, masyarakat, bangsa dan negara (Komunitas dan Perpustakaan online Indonesia, 2012). Sedangkan pengertian serasi, selaras dan seimbang dalam pengendalian diri, iaitu:
a.       Serasi adalah kesesuaian/ kesamaan antara semua unsur pendukung agar menghasilkan keterpaduan yang utuh.
b.      Seimbang adalah jumlah yang sama besar antara hak dan kewajiban.
c.       Selaras adalah suatu hubungan baik yang dapat menciptakan ketentraman lahir dan batin.
Menurut A. Meliala (2011), pengendalian diri adalah kemampuan yang penting untuk dipelajari oleh seseorang. Pengendalian diri juga berarti dapat membedakan mana yang benar dan mana yang tidak. Ia nya juga merupakan suatu keinginan atau kemampuan untuk menggapai kehidupan yang selaras dan seimbang.
Ria Wastiani (2011), memberi pandangan bahawa pengendalian diri merupakan kemampuan dasar untuk bertahan hidup sebab jika kita tidak mampu mengedalikan emosi, fikiran, hati dan kebiasaan, kita akan mengalami kesulitan dalam kehidupan bermasyarakat.
Randy R.W., dan Riant Nugroho D., (2006), bahawa pengendalian adalah suatu tindakan pengawasan yang disertai tindakan pelurusan (korektif). Pengendalian diri merupakan salah satu bagian dari manajemen. Pengendalian diri dilakukan dengan tujuan supaya apa yang telah direncanakan dapat dilaksanakan dengan baik sehingga dapat mencapai target maupun tujuan yang ingin dicapai.
Dalam kajian ini bermaksud pengendalian merupakan mekanisma untuk mencegah terjadinya penyimpangan dan mengarahkan seseorang yang solat untuk bertindak menurut norma atau ketentuan yang telah ditetapkan.
Keji dan Munkar:
Keji adalah sangat buruk (rendah), hina (bukan sifat, kelakuan, perbuatan), amat tidak sopan (bukan sifat, kelakuan, perbuatan), jadi perbuatan keji adalah perbuatan atau kelakuan yang buruk, hina dan sangat tidak sopan, (Kamus Dewan, 2007). Mungkar adalah ingkar atau durhaka kepada Tuhan, jadi perbuatan mungkar iaitu perbuatan atau tingkah laku yang mendurhaka kepada Tuhan, (Kamus Dewan, 2007). Perbuatan keji dan mungkar yang dimaksud dalam kajian ini adalah dari aspek:
1)      Moral
2)      Kejahatan hukum
3)      Kufur nikmat

1.8        Kerangka Konsepsual Kajian
Kerangka kensepsual juga perlu dibina bagi menjelaskan kreteria pelaksanaan solat yang dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan munkar. Ibadah solat yang dilakukan seseorang dengan cara yang sempurna akan memberi impak yang sempurna, begitu juga sebaliknya.
            Menurut beberapa ulama fiqh  dan pentafsir berkaitan dengan surah al-Ankabut ayat 45, diantaranya; Muhammad Hasan al-Basri (2011), Fahrur Muis (2012), Engku Ahmad Zaki, Ahmad Tirmizi Taha (2012), Muhammad Rusli Amin (2012), Nik Abdul Aziz Nik Mat, Azrul Hakim Suradi (2012), Nurun Nasuha (2009), dan Imam al-Ghazali (2001), mengatakan bahawa solat yang dapat mencegah sipelakunya dari perbuatan keji dan munkar adalah solat yang didirikan dengan ikhlas, khusyuk dan sempurna rukun dan syaratnya.
Dan menurut pentafsir, diantaranya; al-Qurthubi (1988), Abd. Kadir Mahmud al-Bakar (1989), Abd. Hakim Abdullah (2011), Quraish Shihab (2005), Aidh Abd. Al-Qarni (2007), Ibnu katsir (2008), Wahbah Zuhaili (1998), Muhammad Abdullah Mu’aidzir (2011), Anwar al-Baaz (2007), Abdul Rahman Nasir as-Sa’di (1998), Abdullah an-Nasafi (1989), Badru Nasir (2010), memberikan keterangan yang hampir sama iaitu seseorang terhindar daripada keji dan munkar dengan menunaikan solat wajib dan solat sunat secara berkesinambungan dengan mencukupi syarat dan rukun, dengan khusyuk dan khudhuk kepada Allah, menghadhirkan ketakutan kepada-Nya dalam segala tingkatannya.
Dalam Kamus al-Quran dan Ensiklopedi al-Qur’an (2007), kata keji (fahsya) adalah bentuk kata sifat yang terambil dari akar kata yang terdiri dari tiga huruf. Menurut Ahmad Nasafi (1989), Abd. Rahman Nasir as-Sa’di (1988), Quraish Shihab (2005), fahsya adalah perbuatan yang keji, dan maksiat yang besar yang diingini oleh nafsu manusia.
Kata munkar, pada mulanya berarti sesuatu yang tidak dikenal sehingga diingkari dalam arti tidak disetujui (M. Qurais Shihab, 2002). Sementara ulama dalam al-Misbah, mendefinisikan munkar, dari segi pandangan syariat adalah sebagai segala sesuatu yang melanggar norma-norma agama dan budaya/ adat istiadat satu masyarakat. Menurut Abd. Rahman Nasir as-Sa’di (1988), Abdullah ar-Rajihi (2000), dan Ahmad Nasafi, 1989), berpendapat bahawa munkar adalah setiap amalan atau tindakan yang dilarang oleh syariat Islam, semua maksiat yang diingkari oleh akal, fitrah dan syarak, tercela di dalamnya dan bid’ah, yang semua itu diawali oleh kemusyrikan.


  Rajah 1: Kerangka Konsepsual Kajian


1.9        Kesimpulan

Sebagai kesimpulan bahawa didalam bab satu ini perbincangan berkisar tentang latar belakang kajian, soalan kajian, pengertian tajuk, kepentingan kajian, lokasi kajian, objektif kajian dan skop kajian.